Untuk kita benar-benar meletakkan kepercayaan kepada seseorang, kita perlu mengenal siapa dia terlebih dahulu.
Kembali kepada analogi anak jutawan tadi.
Jika seorang anak tahu ayahnya seorang yang penyayang, murah hati dan sentiasa ada ketika dia memerlukan bantuan, tentu lebih mudah untuk dia berkata:
“Kalau aku jatuh, ayah aku akan bantu.”
Tetapi kalau ayahnya terkenal garang, kedekut dan suka menolak permintaan, tentu sukar untuk si anak mempunyai rasa percaya yang sama.
Begitulah juga hubungan kita dengan Allah.
Tawakkal Memerlukan Makrifat
Kita sering disuruh:
“Percayalah kepada Allah.”
“Serahkan kepada Allah.”
“Tawakkallah.”
Tetapi bagaimana hati mahu benar-benar berserah kalau gambaran kita tentang Allah masih kabur?
Ada orang secara tidak sedar melihat Allah hanya sebagai Tuhan yang menghukum.
Sedikit tersilap, terasa Allah marah.
Bila doa lambat dijawab, terasa Allah tidak peduli.
Bila ujian datang, terus terasa diri sedang dihukum.
Dalam keadaan itu, memang sukar untuk hati benar-benar merasa selamat bersama Allah.
Sebab itu salah satu asas kepada tawakkal ialah mengenal Allah.
Kenal Allah Melalui Sifat dan Nama-Nya
Kita belajar bahawa Allah Maha Mengetahui.
Maha Berkuasa.
Maha Berkehendak.
Maha Mendengar.
Maha Melihat.
Kemudian kita mengenal Allah melalui Asmaul Husna.
Allah Ar-Rahman — Yang Maha Pengasih.
Allah Ar-Rahim — Yang Maha Penyayang.
Allah Al-Latif — Yang Maha Lembut dalam mengatur.
Allah Al-Wakil — tempat kita menyerahkan urusan.
Allah Ar-Razzaq — Yang Maha Memberi Rezeki.
Allah Al-Fattah — Yang Maha Membukakan jalan.
Semakin kita mengenal siapa Allah, semakin hati mempunyai sebab untuk berkata:
“Aku mungkin tidak faham apa yang sedang berlaku, tetapi aku tahu kepada siapa aku sedang menyerahkan hidup ini.”
Audit Semula Kehidupan Kita
Selain belajar sifat dan nama Allah, kita juga boleh melihat kembali perjalanan hidup sendiri.
Pernah tak ada masalah yang suatu ketika dahulu kita sangka tidak mampu hadapi, tetapi akhirnya kita berjaya melepasinya?
Pernah tak ada jalan keluar yang datang dari arah yang langsung tidak dijangka?
Pernah tak kita kehilangan sesuatu, kemudian beberapa tahun kemudian baru memahami kenapa hidup dibawa ke arah lain?
Pernah tak Allah menghantar pertolongan melalui manusia, peluang atau keadaan pada waktu yang sangat tepat?
Semua itu boleh menjadi bahan muhasabah.
Bukan untuk memaksa diri berkata setiap perkara yang berlaku itu menyenangkan.
Tetapi untuk mengingatkan diri:
“Selama ini pun Allah tidak pernah meninggalkan perjalanan hidup aku.”
Trust Kepada Allah Dibina Perlahan-lahan
Tawakkal bukan satu suis yang kita tekan ketika sedang panik.
Ia dibina.
Dengan ilmu.
Dengan mengenal Allah.
Dengan mengingati bagaimana Allah memelihara kita sebelum ini.
Dan dengan berlatih menyerahkan satu demi satu perkara yang kita tidak mampu kawal.
Semakin kita mengenal Allah, semakin tawakkal tidak terasa seperti “memaksa diri percaya”.
Ia mula terasa seperti sesuatu yang lebih natural:
“Aku kenal siapa Tuhanku. Sebab itu aku berani menyerahkan apa yang aku tidak mampu kepada-Nya.”
Mungkin selama ini bukan kita tidak mahu trust Allah.
Mungkin kita cuma perlu mengenal Allah dengan lebih dekat terlebih dahulu.
